Thursday 20 June 2013

LAWATAN NAZIR - NEW DEAL 2012

Asssalamualaikum wbt / Salam Sejahtera
 
 
    13 Mei 2103 satu tarikh yang memberikan sejarah tersendiri bagi SEMSALD. 4 pegawai daripada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Sarawak dan Sabah mengadakan lawatan pemantauan ke sekolah ini untuk penilaian anugerah 'New Deal' atau lebih dikenali sebagai Baiah Pengetua buat kali kedua. Penerimaan anugerah baiah kali pertama pada tahun lalu telah menyuntik semangat warga SEMSALD untuk terus bekerja keras dan penuh semangat untuk mendapatkan anugerah tersebut buat kali seterusnya. 

Fail Kurikulum disemak satu persatu
       Kehadiran mereka seawal jam 7 pagi disambut mesra oleh barisan pentadbir sekolah yang diketuai oleh pengetua Puan Hajah Juriah Ahmad. Satu taklimat dan pembentangan ringkas oleh puan pengetua telah diadakan di bilik mesyuarat sekolah sebagai pengenalan latar belakang pencapaian sekolah secara keseluruhan. Seusai pembentangan para tetamu dibawa ke bilik mesyuarat PIBG untuk menjamah sedikit sarapan pagi sebelum membuat pemeriksaan fail-fail sekolah di bilik dokumentasi dan memeriksa bilik-bilik khas seperti Bilik Cetak, Bilik Stor, Bilik Gerakan Warden, Dewan Makan, Surau dan keseluruhan blok serta persekitaran sekolah dan asrama.
    
Lawatan di Bilik Stor Alatan
Pada sesi tengahari pula 4 orang nazir masing-masing membuat pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Antara guru yang terlibat dalam pemantauan ini ialah puan pengetua Hjh Juriah Ahmad (Bahasa Melayu), Encik Khairul Anuar Razali (Matematik), Puan Herna Nordin (Kemahiran Hidup) dan Puan Noraini Ismail (Pendidikan Moral). Tepat jam 2 petang semua pemantauan yang dilakukan selesai dilaksanakan dengan sempurna, namun tiada sebarang ulasan atau komen dari pemantau tersebut hasil lawatan mereka.

          Kami warga SEMSALD mengharapkan sesuatu yang positif diperolehi hasil pemantau Baiah Pengetua oleh nazir ini sebagaimana tahun sebelumnya. Bukanlah imbuhan wang yang semata-mata kami cari tapi peningkatan kualiti pencapaian sekolah itu yang membuatkan kami teruja untuk terus bersaing dengan sekolah-sekolah yang hebat di seberang Laut China Selatan. Kami juga mahu buktikan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu hari ini bukan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu yang semalam. Sama-sama kita doakan kejayaan untuk SEMSALD selamanya.

Thursday 13 June 2013

HAC 2013 - Pelajar Terbaik 2012

Assalamualaikum wbt / Salam Sejahtera

    Tanggal 17 Mei 2013 yang lepas SEMSALD telah menganjurkan Hari Anugerah Cemerlang (HAC) untuk kali ke 22. Program yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Pn.Hjh Norhalinah binti Mokhtar ini diadakan setiap tahun dan bertujuan memberi penghargaan kepada para pelajar atas pencapaian terbaik dalam pelajaran sepanjang tahun 2012.

    Seramai 197 penerima anugerah yang telah disenaraipendekkan oleh jawatankuasa pemilihan penerima anugerah kali ini. Antara anugerah yang disampaikan dalam majlis HAC tersebut ialah;
1) Anugerah Pelajar Terbaik tingkatan 1,2 dan 4
2) Anugerah Mata Pelajaran Terbaik tingkatan 1,2,3,4 dan 5
3) Anugerah Terbaik PMR dan SPM, dan 
4) Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan.
Tahniah Mohd Hafiz Zainal


     Pihak SEMSALD merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah semoga kecemerlangan mereka dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Sekalung tahniah dan terima kasih juga kepada barisan pentadbiran sekolah dan Pengarah Program HAC 2013 En. Nur Hasli bin Basri berserta seluruh ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada rakan-rakan guru, murid-murid dan kakitangan sokongan sekolah yang sama-sama menjayakan program ini dengan baik.

Album SMSLD