Thursday 20 June 2013

LAWATAN NAZIR - NEW DEAL 2012

Asssalamualaikum wbt / Salam Sejahtera
 
 
    13 Mei 2103 satu tarikh yang memberikan sejarah tersendiri bagi SEMSALD. 4 pegawai daripada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Sarawak dan Sabah mengadakan lawatan pemantauan ke sekolah ini untuk penilaian anugerah 'New Deal' atau lebih dikenali sebagai Baiah Pengetua buat kali kedua. Penerimaan anugerah baiah kali pertama pada tahun lalu telah menyuntik semangat warga SEMSALD untuk terus bekerja keras dan penuh semangat untuk mendapatkan anugerah tersebut buat kali seterusnya. 

Fail Kurikulum disemak satu persatu
       Kehadiran mereka seawal jam 7 pagi disambut mesra oleh barisan pentadbir sekolah yang diketuai oleh pengetua Puan Hajah Juriah Ahmad. Satu taklimat dan pembentangan ringkas oleh puan pengetua telah diadakan di bilik mesyuarat sekolah sebagai pengenalan latar belakang pencapaian sekolah secara keseluruhan. Seusai pembentangan para tetamu dibawa ke bilik mesyuarat PIBG untuk menjamah sedikit sarapan pagi sebelum membuat pemeriksaan fail-fail sekolah di bilik dokumentasi dan memeriksa bilik-bilik khas seperti Bilik Cetak, Bilik Stor, Bilik Gerakan Warden, Dewan Makan, Surau dan keseluruhan blok serta persekitaran sekolah dan asrama.
    
Lawatan di Bilik Stor Alatan
Pada sesi tengahari pula 4 orang nazir masing-masing membuat pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Antara guru yang terlibat dalam pemantauan ini ialah puan pengetua Hjh Juriah Ahmad (Bahasa Melayu), Encik Khairul Anuar Razali (Matematik), Puan Herna Nordin (Kemahiran Hidup) dan Puan Noraini Ismail (Pendidikan Moral). Tepat jam 2 petang semua pemantauan yang dilakukan selesai dilaksanakan dengan sempurna, namun tiada sebarang ulasan atau komen dari pemantau tersebut hasil lawatan mereka.

          Kami warga SEMSALD mengharapkan sesuatu yang positif diperolehi hasil pemantau Baiah Pengetua oleh nazir ini sebagaimana tahun sebelumnya. Bukanlah imbuhan wang yang semata-mata kami cari tapi peningkatan kualiti pencapaian sekolah itu yang membuatkan kami teruja untuk terus bersaing dengan sekolah-sekolah yang hebat di seberang Laut China Selatan. Kami juga mahu buktikan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu hari ini bukan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu yang semalam. Sama-sama kita doakan kejayaan untuk SEMSALD selamanya.

No comments:

Post a Comment

Album SMSLD