Wednesday 11 April 2012

Mesyuarat Agung PIBG SMSLD kali ke-17

         Tanggal 10 Mac 2012 satu mesyuarat Agung PIBG SMSLD telah dilangsungkan secara kesederhanaan. Majlis yang diadakan tanpa perasmian itu menerima kehadiran ibu bapa diluar jangkaan. Biarpun surat pengesahan kehadiran yang diterima sekitar 200 - 250 ibu bapa sahaja namun yang hadir melebihi daripada separuh dewan. Kehadiran ibu bapa yang amat memuaskan ini membuktikan bahawa pihak ibu bapa memang bersungguh-sungguh untuk membantu pihak sekolah khususnya untuk mencemerlangkan anak-anak dan mereka amat cakna dengan proses perkembangan anak mereka di sekolah ini.

     Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kadang-kadang program-program sekolah yang memerlukan kehadiran ibu bapa kurang mendapat sambutan. Pernah suatu ketika mesyuarat Agung terpaksa diadakan 2 kali setelah kehadiran ibu bapa pada mesyuarat pertama amat menyedihkan apabila kehadiran ibu bapa kurang daripada 100 orang. Harapnya selepas ini setiap program-program sekolah sentiasa mendapat sokongan dan sambutan yang memberangsangkan daripada pihak ibu bapa.

Mantan YDP PIBG 2 Penggal

          Berbalik kepada mesyuarat agung kali ini, pelaksanaannya mengambil masa yang agak lama bermula dari jam 9 pagi berlarutan hingga hampir 2 petang. Macam-macam la perkara yang berlaku dalam tempoh itu khususnya semasa perlantikan AJK PIBG yang baru, ada suara minta dikekalkan sahaja ajk yang lama dan ada juga suara dicalonkan nama-nama yang baru sebagai ajk. Dipendekkan masa dan cerita semua bersetuju untuk mengemukakan pencalonan baru samada dari ajk yang lama atau yang baru. Hasil persetujuan semua maka AJK PIBG 2012 kalangan ibu bapa sebagaimana dalam gambar di atas.Tentang usul-usul dan cadangan daripada ibu bapa untuk pembaikan sekolah tidak dapat dibincangkan dalam mesyuarat kali ini disebabkan masa yang tidak mengizikan. Jawatankuasa PIBG yang baru memaklumkan segala usul tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat peringkat jawatankuasa dan hasilnya akan dimaklumkan kepada ibubapa dari masa ke semasa.

           Saya selaku wakil pihak sekolah merakamkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada pada ibu bapa yang hadir dalam mesyuarat agung kali ini, dan tahniah juga kepada ibu bapa yang terpilih dilantik sebagai AJK PIBG Sekolah Menengah Sains Lahad Datu sesi 2012/2013 khususnya kepada Yang Dipertua PIBG Puan Hajah Norhalinah binti Mokhtar. Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada AJK PIBG 2011/2012 khususnya kepada mantan YDP PIBG En. Abdul Raof bin Mohamad Noor atas kepimpinan beliau mengemudi PIBG selama 2 penggal berturut-turut dengan penuh dedikasi, komitmen, prihatin dan bertanggungjawab di samping menjadi penyokong penuh segala agenda-agenda dan program sekolah. Terima Kasih Tuan.

No comments:

Post a Comment

Album SMSLD