Wednesday 11 April 2012

Sebalik Kejayaan SPM 2011

Assalamualaikum semua..

       Alkisah 21 Mac 2011 merakamkan satu kenangan dan sejarah tersendiri bagi Sekolah Menengah Sains Lahad Datu (SMSLD) apabila keputusan SPM 2011 yang diumumkan mencatat satu keputusan yang di luar jangka. Kami seluruh warga SMSLD turut merasa bangga dan penuh keinsafan diri apabila dimaklumkan sekolah ini adalah sekolah terbaik negeri Sabah bagi SPM 2011 mengalahkan sekolah-sekolah menengah yang lain. Dengan pencapaian Gred Purata Keseluruhan (GPK) 1.82 menjadikan juga sekolah ini sebagai sekolah yang pertama dalam negeri Sabah mencapai gred di bawah 2.00. 

      Sasaran asal kami untuk SPM 2011 hanya dengan Gred Purata 1.88 sahaja. Satu sasaran yang cukup tinggi sebenarnya berbanding GP yang pernah dicapai selama ini. Guru-guru khususnya yang mengajar kelas SPM termasuk saya merasakan sasaran itu cukup mencabar dan merisaukan kerana GP SPM terbaik yang pernah dicapai oleh sekolah ini ialah 2.39 iaitu SPM 2009. Inikan pula 1.88. Sepanjang tahun 2011 kami terasa dan sahut cabaran serta kerisauan itu dengan pelbagai program-program akademik yang dijalankan melalui panitia masing-masing. Dengan tunjuk ajar dan nasihat Yang Berusaha Puan Pengetua Cemerlang Hajah Juriah Ahmad kami mengatur langkah menyusun program dengan penuh pengharapan. Berkat usaha, doa dan tawakkal semua pihak termasuk PIBG dan  para ibu bapa yang menyokong penuh program sekolah  kini SMSLD boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama sekolah-sekolah SBP yang ternama di semenanjung sana. Jika dahulu kedudukan SPM sekolah ini peringkat SBP Kebangsaan hanya pada helaian kedua namun SPM 2011 membuktikan SMSLD sudah berada pada helaian pertama sekalipun pada kedudukan 35 daripada 58 buah sekolah. SMSLD. 

       Nama SMSLD bukanlah satu nama yang tersohor dalam kalangan warga SBP namun ia sering disebut dalam mana-mana mesyuarat dan dijadikan 'banch marking' dalam segenap perkara. Sejak bertahun-tahun SPM SMSLD sentiasa di bawah... pendek kata kalau kedudukan lima kebawah peringkat SBP mesti ada nama SMSLD. Istimewanya sekolah ini pelajar-pelajar yang dijadikan sebagai anak-anak kami bukan sahaja dari mereka yang memperoleh 5A dalam UPSR malah ada juga 4A 1B, berbanding sekolah SBP di seberang laut cina selatan sana yang semuanya 5A. Keadaan ini tidaklah kami anggap sebagai satu bebanan bahkan satu amanah yang wajib dipikul untuk mencemerlangkan anak bangsa dengan apa cara sekalipun, biarpun ada di antara mereka yang diragui ke'5A'an dalam UPSR kerana kurang a'rif tentang operasi asas pengiraan. 
   
      SMSLD dari awal penubuhan sekolah hingga ke hari ini tidak lekang dari masalah air. Bila sahaja bertemu dengan sesiapa yang pernah berada di SMSLD  sama ada guru, pelajar, pekerja kantin atau pekerja dewan makan pasti soalan pertama yang diajukan "macam mana isu air di sana sekarang"?. Biarpun pelbagai cara dan usaha telah dilakukan oleh Puan Pengetua sekarang dan yang sebelumnya namun isu air tersebut hanya baik sementara sahaja, sampai masanya berulang kembali masalah itu.. tekanan rendah @ bocor sana bocor sini..semua ada. Amat mencabar dan menahan sabar sebenarnya bagi mereka yang pernah dan sedang berkhidmat di bumi SMSLD dengan kemelut air ini. Justeru tidak mustahillah dengan keadaan yang serba mencabar mengemudi bahtera SMSLD itu Puan Pengetua Cemerlang Hajah Juriah Ahmad boleh merasa sebak dan terharu bila diucapkan tahniah oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik SBP Tuan Haji Mohd Kholil bin Mohamad dalam mesyuarat pengetua-pengetua SBP di Melaka Mac lalu atas kejayaan luar biasa dan melepasi sasaran sebenar SPM 2011.

      Tahniah kepada Pengetua Cemerlang SMSLD Puan Hajah Juriah Ahmad kerana mampu meletakkan nama sekolah ini setanding dengan sekolah-sekolah hebat yang lain. Dengan berkat kepimpinan dan kebijaksanaan puan kami mengharapkan SPM 2012 dan tahun seterusnya menjadi penerus larian 2011 tanpa mempedulikan dimanakah garisan penamatnya agar lebih cemerlang dan cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Album SMSLD