Thursday 12 April 2012

PENCAPAIAN SPM 2004 - 2011

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

PERBANDINGAN PENCAPAIAN SPM 2004 - 2011
       Pada tulisan sebelum ini ada saya ceritakan senario belakang tabir sebalik kejayaan SMSLD dalam SPM 2011. Kesinambungannya terasa tidak sah pula kiranya kalau saya tidak memasukkan juga sejarah pencapaian SPM sekolah ini bermula dari tahun 2004. Jika merujuk jadual di sebelah ini memang ternyata dan jelas sekali tahun 2011 adalah yang terbaik. Bukan sahaja dari segi keseluruhan gred purata malahan pencapaian dalam setiap mata pelajaran pun semakin meningkat melainkan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sahaja yang masing - masing menurun dan tidak berubah dari tahun sebelumnya. 

     Jika diteliti antara semua mata pelajaran, Matematik Tambahan telah mencatatkan satu peningkatan yang tinggi dari tahun 2010 iaitu dengan kenaikan 1.28, diikuti Biologi 1.18, Fizik 1.16, Kimia 0.83, Sejarah 0.49, Bahasa Melayu 0.46, Matematik 0.26 dan Bahasa Inggeris 0.21. Manakala bagi Pendidikan Islam berlaku sedikit penurunan gred purata iaitu sebanyak 0.10 dari 0.32 kepada 0.42. Namun di sebalik penurunan ini saya sendiri sebagai murabbi yang bertanggungjawab mengemudi Pendidikan Islam tingkatan 5 tetap merasa bangga dan bersyukur atas pencapaian tersebut kerana kesemua calon 106 orang yang mengambil mata pelajaran ini kekal mencapai semua A (63 A+, 41 A dan 2 A-), sekaligus menjadikan SPM 2011 sebagai tahun kelima berturut-turut untuk Pendidikan Islam merangkul semua A bagi semua pelajar. Bagi Pendidikan Moral pula tiada perubahan yang berlaku dari segi pencapaiannya berbanding SPM 2011 iaitu kekal dengan gred purata 2.0.

    Di samping peningkatan pencapaian mata pelajaran yang perlu disyukuri, kedudukan setiap mata pelajaran khususnya pada peringkat SBP kebangsaan juga perlu dihayati dengan rasa rendah diri. Matematik Tambahan dengan gred puratanya 1.50 mampu melonjakkan nama SMSLD dari kedudukan 34 ke kedudukan ke-2 selepas Sekolah Tun Fatimah. Begitu juga dengan mata pelajaran Matematik dari kedudukan 32 naik ke kedudukan ke-6 dari 58 buah sekolah SBP. Manakala bagi Pendidikan Islam yang tahun sebelumnya pada kedudukan pertama kini turun ke kedudukan ke 4 dari 56 sekolah SBP yang mengambil Pendidikan Islam. Untuk kedudukan mata pelajaran - mata pelajaran yang lain boleh la merujuk kepada jadual di sebelah ini.

     Tahun 2012 ini adalah tahun yang lebih mencabar. Mencabar bagi kami warga guru untuk mengekalkan di samping menambah lagi kecemerlangan yang sedia ada. Biarlah kita semua bersatu menggembleng tenaga untuk mempertingkatkan prestasi akademik ke arah yang lebih berkualiti dan lebih baik dari sebelumnya. Jangan semata dilihat pada kuantiti tapi ukurla di sudut kualiti, apa guna di kedudukan yang tinggi jika ia lebih teruk dari sebelum ini. Sama-sama kita fikirkan. 

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment

Album SMSLD